Lelaki kaki kudung(OKU) dicekup bersama janda dalam bilik motel

 
LELAKI OKU bersama pasangannya disoal siasat anggota PADKP selepas disyaki berkhalwat di motel.

Jitra: Seorang lelaki yang kudung kaki kiri dicekup selepas disyaki berkhalwat dengan janda beranak tiga di sebuah bilik motel di Kubang Chenok, Padang Sera, Kodiang, di sini, awal pagi semalam.

Pasangan berkenaan ditahan jam 2.30 pagi selepas pemeriksaan dilakukan di motel yang menjadi tumpuan golongan muda untuk memadu kasih kerana terdapat juga pusat karaoke.

Ketika serbuan, lelaki berusia 31 tahun itu membuka pintu selepas diketuk anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) diketuai Ku Mohd Yusof Ku Yaakob bersama 11 anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu.

Lebih mengejutkan, lelaki berkenaan bertongkat dan hanya memakai seluar ‘boxer’ ketika membuka pintu bilik serta kelihatan menggelabah melihat kehadiran anggota penguat kuasa PADKP.

Difahamkan, lelaki berasal dari Changlun itu bergelar orang kurang upaya (OKU) selepas parah di kaki kiri dalam kemalangan jalan raya, sebelum ini.

Pegawai Agama Daerah Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya yang menerima panggilan berhubung kegiatan maksiat memeriksa bilik berkenaan sebelum menemui wanita berpakaian lengkap.

Katanya, hasil siasatan mendapati wanita berusia 31 tahun itu mengaku sudah bercerai dan mempunyai tiga anak, tetapi semuanya tinggal bersama bekas suaminya.

“Mereka juga tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri dan wanita berasal dari Teluk Intan, Perak itu mendakwa mengikut lelaki terbabit kerana tidak mempunyai rumah sewa kerana baru bekerja di Pekan Jitra.

“Alasan itu tidak diterima dan mereka akhirnya mengaku berkenalan sejak dua tahun lalu melalui laman sosial Facebook selain kerap bertemu,” katanya.

Katanya, pasangan itu ditahan dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk dibuat laporan sebelum dibawa ke pejabat agama bagi diambil keterangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, operasi bersama anggota penguat kuasa AADK itu turut membuat pemantauan kes penyalahgunaan dadah, malah kita akan melakukan operasi dari semasa ke semasa untuk membendung gejala sosial,” katanya.
Lelaki kaki kudung(OKU) dicekup bersama janda dalam bilik motel Lelaki kaki kudung(OKU) dicekup bersama janda dalam bilik motel Reviewed by MD on 8:20:00 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.